
KUALA TERENGGANU 19 Mei – Dua individu termasuk seorang bekas penolong eksekutif kanan sebuah badan awam direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana awam berjumlah kira-kira RM800,000.
- Suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
- Perintah reman dikeluarkan sehingga 25 Mei oleh Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.
- SPRM sebelum ini menahan tiga individu; seorang dibebaskan atas faktor kesihatan, dua direman hari ini.
- Siasatan mendapati suspek dipercayai bersubahat pada 2023 dan 2024; kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan, kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu, semalam.
Perintah reman sehingga 25 Mei itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, pagi tadi.
SPRM sebelum ini menahan tiga individu termasuk bekas penolong eksekutif kanan pentadbiran, pemilik syarikat dan seorang penjawat awam bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Bagaimanapun, hanya dua suspek direman hari ini selepas seorang lagi dibebaskan atas faktor kesihatan.
Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan kesalahan tersebut pada tahun 2023 dan 2024.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kami tidak menolak kemungkinan beberapa lagi tangkapan susulan akan dilakukan bagi membantu siasatan,” katanya.