
PUTRAJAYA, 7 Sept – Bekas Pengarah Besar FELDA tiba di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi prosiding reman berkaitan siasatan salah guna kuasa berhubung pelantikan syarikat pemaju bagi sebuah projek di ibu negara, selain urusan penjualan tanah milik badan berkanun berkenaan.
- Ditahan bersama seorang lelaki lain; rakan suspek dimasukkan ke hospital dan tidak dibawa ke mahkamah hari ini.
- Siasatan melibatkan penjualan tanah FELDA kepada syarikat berkepentingan dengan pemaju tanpa pengetahuan Lembaga Pengarah dan anak syarikat.
- SPRM membuka tujuh kertas siasatan, enam baharu pada 24 Ogos, dalam operasi khas berskala besar Ops FELLA.
- Siasatan menumpukan transaksi 2010 hingga 2020 serta aset termasuk hotel, kediaman, KLVC dan Park City Grand Plaza; disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Individu berusia lewat 60-an itu tiba kira-kira 9.15 pagi dengan menaiki kenderaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan berbaju kolar berwarna hijau.
Beliau ditahan kira-kira 4 petang semalam bersama seorang lelaki berusia lingkungan 50-an selepas kedua-duanya hadir ke Ibu Pejabat SPRM di sini bagi memberikan keterangan.
Bagaimanapun, lelaki berusia lingkungan 50-an itu tidak dibawa ke mahkamah hari ini selepas dimasukkan ke hospital.
Siasatan turut melibatkan dakwaan urusan penjualan tanah milik FELDA kepada syarikat yang mempunyai kepentingan dengan syarikat pemaju, dipercayai dilakukan tanpa pengetahuan Ahli Lembaga Pengarah dan anak syarikat.
Minggu lepas, SPRM membuka tujuh kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan FELDA serta anak syarikatnya, FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).
Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abd Halim Aman sebelum ini berkata penyiasatan khas berskala besar yang dinamakan Ops FELLA itu menumpukan kepada transaksi pelaburan dan pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC dalam tempoh 10 tahun, antara 2010 hingga 2020.
Daripada tujuh kertas siasatan berkenaan, enam kertas siasatan baharu dibuka pada 24 Ogos lepas, manakala satu lagi merupakan kertas siasatan lama yang masih aktif dan dalam proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA).
Kertas siasatan itu merangkumi isu pelaburan Syarikat Tataran Aras Sdn Bhd yang berpusat di Limbang, Sarawak, pengambilalihan Grand Borneo Hotel Sdn Bhd di Sabah serta pembelian Grand Plaza Serviced Apartments di London.
Siasatan turut meliputi penubuhan Felda Wellness Corporation Sdn Bhd, pengambilalihan Felda House dan Grand Felda House serta dakwaan penyelewengan dalam pembangunan Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
Sementara itu, satu kertas siasatan lama yang masih belum ditutup dan kini dalam proses MLA membabitkan hartanah Park City Grand Plaza turut diteliti semula secara selari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.