Enam hilang ketika ekspedisi Trans GBB, operasi SAR bermula

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon

GERIK, 7 September – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) enam individu yang dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi hiking melalui laluan Trans GBB di Gerik, Perak bermula pagi ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kumpulan yang hilang: empat ahli keluarga dan dua Malim Gunung Perhutanan.
  • Lapan anggota STORM dan lima Malim Bomba digerakkan dari Jeti Trojan menggunakan tiga bot ke Pos Kemar.
  • 12 anggota MGP bergerak dari Sungai Siput ke Pos Kemar menggunakan pacuan empat roda, perjalanan kira-kira empat jam.
  • Pos Kemar jadi Pos Kawalan Hadapan; unit udara tinjau jam 2 petang; K9 sedia; PDRM, Perhutanan turut terlibat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, enam individu berkenaan terdiri daripada empat sekeluarga dan dua Malim Gunung Perhutanan (MGP).

Katanya, pihaknya menerima maklumat mengenai kehilangan mereka pada petang semalam sebelum gerak kerja pencarian dimulakan hari ini.

“Seramai lapan anggota STORM dan lima Malim Bomba digerakkan dari Jeti Trojan menggunakan tiga bot menuju ke Pos Kemar.

“Pada masa sama, 12 anggota MGP bergerak dari Sungai Siput ke Pos Kemar menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan dijangka mengambil masa kira-kira empat jam,”beliau berkata demikian ketika dihubungi RTM.

Menurutnya, Pos Kemar akan dijadikan Pos Kawalan Hadapan (PKH), manakala lokasi pusat kawalan operasi masih dalam perbincangan sama ada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik atau Balai Bomba.

Sementara itu, pasukan K9 JBPM yang tiba pagi ini turut bersiap sedia untuk digerakkan sekiranya diperlukan.

Unit udara JBPM pula dijangka memulakan tinjauan sekitar jam 2 petang ini, bermula dari lokasi terakhir keenam-enam individu itu dikesan pada 1 September lalu sebelum pencarian diteruskan ke arah Pos Kemar.

Operasi turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan serta agensi berkaitan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.