Ban pecah: 522 penduduk dipindahkan ke PPS

Antara penduduk terjejas yang dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air susulan kejadian ban pecah / BERNAMA

KUALA LANGAT, 25 Jun- Seramai 522 penduduk terjejas banjir di Taman Langat Utama 2 dan RTB Bukit Changgang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kejadian ban pecah awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Paras air tidak meningkat setakat pukul 7 malam menurut Pusat Gerakan Operasi JBPM Selangor.
  • Anggota bomba terus menjalankan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.
  • Kejadian dipercayai berpunca daripada ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan.
  • Operasi menyelamat bermula selepas panggilan kecemasan pukul 4.12 pagi; tiada kecederaan atau kematian dilaporkan.

Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, setakat pukul 7 malam, paras air di lokasi tidak lagi menunjukkan peningkatan.

Anggota bomba bagaimanapun terus menjalankan rondaan dan pemantauan bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Kejadian dipercayai berpunca daripada ban pecah kira-kira 800 meter dari kawasan perumahan berkenaan.

Insiden itu menyebabkan air naik antara satu hingga tiga kaki pada peringkat awal sebelum terus meningkat pada sebelah pagi,” menurut pusat gerakan tersebut.

Sebanyak 32 rumah dikenal pasti terjejas akibat kejadian itu.

Operasi menyelamat bermula selepas JBPM menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.12 pagi.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting dengan bantuan BBP KLIA dan BBP Dengkil digerakkan ke lokasi bagi memindahkan penduduk ke tempat selamat.

“Daripada keseluruhan penduduk yang dipindahkan, 296 adalah lelaki dan 226 perempuan.

Jumlah itu termasuk 136 kanak-kanak, sembilan bayi, 25 warga emas serta 17 orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad turut meninjau situasi semasa di lokasi kejadian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.