
KANGAR, 4 Julai – Sebanyak 400 unit cecair rokok elektronik atau vape dan 70 peranti vape bernilai RM15,000 disita dalam serbuan ke atas sebuah premis di Jalan Padang Behor di sini, malam tadi.
- Serbuan bersama PDRM dijalankan berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam mengenai penjualan vape secara haram.
- Premis beroperasi secara tertutup waktu malam, pembeli dapat memasuki premis tanpa sekatan.
- Pengusaha pernah dikenakan kompaun beberapa kali; notis henti perniagaan dikeluarkan Ogos 2025 tetapi jualan tetap diteruskan.
- Larangan operasi premis jualan vape di Perlis berkuat kuasa 1 Ogos 2025; MPK dan PDRM akan terus operasi berkala.
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Affendi Rajini Kanth mendedahkan, serbuan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu dijalankan berdasarkan maklumat risikan dan aduan awam berkaitan penjualan vape secara haram di Perlis.
“Premis berkenaan beroperasi secara tertutup pada waktu malam dan pembeli dapat memasuki premis itu tanpa sekatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, tindakan penyitaan dijalankan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian Majlis Perbandaran Kangar.
“Pengusaha premis berkenaan pernah dikenakan kompaun beberapa kali, selain notis menghentikan perniagaan dikeluarkan pada Ogos 2025, namun aktiviti penjualan vape masih diteruskan,” katanya.
Larangan pengoperasian premis penjualan vape di seluruh Perlis berkuat kuasa sejak 1 Ogos 2025 susulan penwartaan oleh kerajaan negeri.
“MPK dan PDRM akan terus melaksanakan operasi secara berkala bagi membanteras penjualan vape secara haram serta menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya.