13 PATI dicekup masuk Malaysia guna ‘lorong tikus’

Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam operasi khas di Kota Bharu, Kelantan.

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Seramai 13 warga asing ditahan dalam Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di dua lokasi sekitar Kota Bharu, Kelantan pada 2 Julai selepas disyaki memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan atau “lorong tikus” bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Operasi bermula 5.10 pagi oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen bersama JIM Negeri Kelantan dan Unit Risik Marin.
  • Serbuan berdasarkan maklumat awam dan risikan; tangkapan dibuat di terminal bas dan sebuah kawasan perumahan selepas cubaan melarikan diri.
  • Disita empat pasport Bangladesh, empat pasport Indonesia serta sebuah kereta dipercayai digunakan untuk memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan.
  • Semua disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63; JIM komited membanteras penyeludupan migran.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula 5.10 pagi itu dilaksanakan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya bersama JIM Negeri Kelantan dengan kerjasama Unit Risik Marin, MO PPM W3 Pengkalan Kubor, Tumpat.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan, serbuan di kawasan terminal bas membawa kepada penahanan lapan lelaki warga Bangladesh, tiga lelaki dan seorang wanita warga Indonesia, manakala seorang wanita warga Myanmar ditahan di lokasi kedua di kawasan perumahan selepas cuba melarikan diri.

“Kesemua yang ditahan berusia antara 22 hingga 55 tahun. Siasatan awal mendapati terdapat antara mereka dipercayai telah disenaraihitam daripada memasuki Malaysia, namun menggunakan laluan tidak diwartakan bagi mengelakkan pemeriksaan pihak berkuasa.

“Turut disita empat pasport Bangladesh, empat pasport Indonesia serta sebuah kereta yang dipercayai digunakan untuk memudahkan pergerakan kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk Zakaria berkata kesemua warga asing itu disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 sebelum dibawa ke pejabat Imigresen untuk tindakan lanjut.

Katanya, JIM terus komited dalam membanteras sebarang aktiviti penyeludupan migran dan mempergiatkan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan, kedaulatan serta kesejahteraan negara terus terpelihara.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.