fb fb fb fb fb

Zayn Rayyan: 25 Februari dengar hujah notis usul batal pertuduhan

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 4 Februari- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 25 Februari ini bagi mendengar hujahan berhubung notis usul difailkan ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin untuk membatalkan pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Roszianayati Ahmad terhadap permohonan Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang kini dibicarakan di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya.

Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dalam prosiding hari ini berkata pihaknya sudah menghantar jawapan balas afidavit notis berkenaan pagi tadi dan bersedia mengemukakan hujahan pada tarikh ditetapkan.

Terdahulu, mahkamah menolak permohonan lisan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan kes itu sementara menunggu keputusan notis usul tersebut.

Peguam pasangan itu Lavanesh Haresh Mahadevan berhujah penangguhan itu perlu bagi memastikan integriti notis usul terpelihara mengambil kira tekanan yang timbul ketika perbicaraan berlangsung.

“Memandangkan hari pertama perbicaraan bermula semalam dengan hanya seorang saksi dipanggil, permohonan saya untuk menangguhkan prosiding berkenaan menggunakan kuasa sedia ada mahkamah ini adalah wajar.

“Perkara yang ingin saya nyatakan ialah bolehkah notis usul mengekalkan integritinya dan bolehkah keputusan yang betul dibuat oleh mahkamah ini dengan tekanan luar seperti perbicaraan yang berlaku di Mahkamah Sesyen?," katanya.

Bagaimanapun, Aqharie Durranie membantah hujah itu atas dasar pihak pembelaan sudah pun memfailkan semakan semula Jumaat lepas bagi menangguhkan perbicaraan yang juga pernah ditolak sebelum ini.

Roszianayati kemudiannya menolak permohonan lisan itu, memutuskan bahawa satu permohonan telah dimasukkan oleh pihak pembelaan sebelum ini bagi semakan semula penangguhan berkenaan di mahkamah lain.

Semalam, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menolak bantahan awal pihak pembelaan yang mendakwa pertuduhan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan adalah cacat atau defektif.

Pada 21 Januari lepas, pasangan itu memfailkan notis usul di Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi membatalkan pertuduhan dengan alasan pertuduan tersebut tidak mendedahkan sebarang kesalahan di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001. Mereka turut memohon agar dilepas dan dibebaskan serta-merta.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan anak mereka, Zayn Rayyan, 6, dengan cara yang berisiko menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 12.00 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023 di sekitar jalan PJU Damansara Damai.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Hasil bedah siasat mendapati terdapan kesan kecederaan pada leher serta badan mangsa, dipercayai akibat mempertahankan diri daripada serangan.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM