KOTA KINABALU, 3 September - Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu Zara Qairina Mahathir tidak mungkin terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor asrama sekolahnya.
Dr Jessie Hiu, 58, yang menjalankan bedah siasat terhadap Zara Qairina berkata berdasarkan pemeriksaan di tempat kejadian, ukuran ketinggian dari lantai ke bahagian paling atas palang logam mendatar yang dipasang pada penghadang konkrit di tingkat tiga adalah 118 cm.
Dr Hiu yang berkhidmat sebagai Pakar Patologi Forensik di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth di sini sejak 1998 berkata beliau dimaklumkan bahawa ketinggian Zara Qairina sebelum kematiannya (antemortem) adalah 154 cm.
"Perbezaan antara ketinggian si mati dan bahagian paling atas palang logam mendatar itu ialah 36 cm. Ketinggian palang logam terbabit melebihi tiga perempat daripada ketinggian remaja itu dan mungkin melebihi pusat graviti badannya. (Bagi wanita, pusat graviti biasanya terletak di kawasan pelvis, selalunya sedikit di bawah pusat badan ketika dalam posisi berdiri).”
“Berdasarkan ukuran itu, saya berpandangan tidak mungkin si mati terjatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari posisi berdiri di sebelah penghadang konkrit di sepanjang koridor.
“Berdasarkan ketinggian dan lebar penghadang konkrit, ketinggian palang logam mendatar serta ketinggian si mati, ada kemungkinan dia memanjat penghadang konkrit, melintasi palang logam tersebut, dan berdiri di atas penghadang konkrit,” katanya.
Dr Hiu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksi pada hari pertama prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.
Saksi pertama juga menyatakan bahawa pemeriksaan di tempat kejadian telah dijalankan pada 2 Ogos, bermula pada 12.30 tengah hari di Blok Rabiatul Adawiyah, Asrama Qurratua’yun Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan (TDML), Kinarut.
“Saya diminta untuk memberikan pendapat profesional mengenai kecederaan si mati sebelum kematiannya. Saya telah meneliti rekod perubatannya termasuk radiograf, laporan imbasan tomografi berkomputer (CT) dan angiografi tomografi berkomputer (CTA) serta menjalankan pemeriksaan di tempat kejadian,” katanya.
Selain itu, doktor itu juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa mayat Zara Qairina berada pada tahap pereputan sederhana hingga lanjut dan keadaan itu selari dengan tempoh pengebumian di dalam tanah.
“Walaupun mayat telah mengalami pereputan, tisu-tisu kecuali otak masih dalam keadaan agak baik, membolehkan pemeriksaan bedah siasat luaran dan dalaman serta pendokumentasian kecederaan dijalankan,” katanya sambil menambah pemeriksaan itu menunjukkan terdapat luka jahitan di bahagian belakang kepala, tanpa sebarang patah tulang tengkorak atau muka.
“Otak menunjukkan perubahan likuifaktif disebabkan pereputan dan tidak dapat dinilai. Bahagian bawah lengan kiri, pergelangan tangan kiri, tangan kiri serta jari kelima kiri mengalami lebam dengan kecacatan pada lengan bawah dan pergelangan tangan kiri akibat patah tulang radius distal kiri dan terpaling pada sendi pergelangan tangan,” katanya.
"Terdapat lebam pada pergelangan kaki kanan, fraktur remuk di bahagian distal tibia kanan melibatkan sendi pergelangan kaki, serta luka melecet pada kaki kiri. Terdapat juga lebam pada pergelangan kaki dan kaki kiri, bahagian distal tibia kiri hancur dan senget, fraktur remuk pada bahagian kalkaneum (tulang tumit) dan tulang sendi buku lali terkehel,” katanya.
Selain itu, patah tulang vertebra lumbar kedua hingga keempat (tulang belakang di bahagian bawah), hematoma otot psoas dan kecederaan retroperitoneum hematoma tisu pelvis juga dikesan.
Beliau berkata kecederaan itu konsisten dengan maklumat yang didokumenkan dalam rekod perubatan si mati, imbasan CT, imbasan CTA dan radiograf.
BERITA BERKAITAN
- Pakar Patologi jadi saksi pertama inkues Zara Qairina
- Inkues kes kematian Zara Qairina bermula
- Himpunan 'Justice For Zara': Polis terima tiga laporan
- Pakar patologi, antara 70 saksi inkues kematian Zara Qairina
- Kes Zara Qairina, guru didakwa buat kenyataan timbulkan kegentaran awam
Dr Hiu berkata Zara Qairina dibawa ke Hospital Queen Elizabeth pada 4.38 pagi, 16 Julai, dalam keadaan kritikal, menunjukkan kecederaan otak teruk dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Amaran trauma diaktifkan pada 4.42 pagi dan dia dinilai serta diuruskan oleh pasukan daripada pelbagai disiplin. Dia meninggal dunia pada 1.07 petang, 17 Julai akibat kecederaan otak traumatik yang teruk dengan ensefalopati iskemia ehipoksia," kata Dr Hiu.
Prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bersambung esok.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.
Pada 8 Ogos, AGC turut mengarahkan kubur Zara Qairina digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.- BERNAMA