fb fb fb fb fb

Kes Zara Qairina, guru didakwa buat kenyataan timbulkan kegentaran awam

Foto BERNAMA

SEPANG, 21 Ogos- Seorang guru Bahasa Inggeris dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sepang hari ini atas pertuduhan menimbulkan kegentaran awam dengan mendakwa pelajar Tingkatan 1, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir, dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Tertuduh, Siti Hajar Aflah Sharuddin, 39 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani.

Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa memuat naik kenyataan berkenaan di akaun TikTok miliknya “SHA_Abrienda” pada pukul 1.20 petang, 6 Ogos lalu, yang berkemungkinan menimbulkan kegentaran awam.

Kenyataan tersebut turut dilihat dan didengar seorang anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nadia Mohd Izhar mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Mohamad Zaiful Bahrin Kamde yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah RM3,000 atas alasan anak guamnya seorang ibu tunggal yang menanggung tiga anak bersekolah serta ibu bapa uzur.

“Anak guam saya seorang guru dengan pendapatan RM5,000 sebulan, mempunyai tiga anak berusia 10, 11 dan 12 tahun selain menjaga ibu bapa berusia 65 dan 66 tahun, di mana ibunya pesakit strok ringan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan Zara Qairina, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Limauan, Sabah, ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia selepas sehari dirawat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

Bagaimanapun, dakwaan kononnya mangsa maut akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh tular di media sosial, sehingga mencetuskan kebimbangan awam serta memberi tekanan kepada keluarga mangsa dan mengganggu siasatan polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum ini mengesahkan penahanan guru terbabit dan memaklumkan wanita itu mengaku membuat kenyataan berkenaan semata-mata untuk menghasilkan kandungan di TikTok.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM