KUALA LUMPUR, 29 Disember - Komunikasi yang berkesan dan beradab berteraskan nilai Islam merupakan tunjang utama dalam membentuk institusi keluarga moden yang harmoni dan sejahtera.
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Siti Sarah Izham berkata, komunikasi dalam keluarga tidak wajar dilihat secara satu hala, sebaliknya merangkumi dua peringkat utama, iaitu hubungan antara suami isteri serta interaksi ibu bapa dengan anak-anak.
Menurut beliau, ibu bapa merupakan lapisan pertama yang membentuk corak komunikasi dalam keluarga, sekali gus memberi kesan langsung terhadap emosi, tingkah laku dan kesejahteraan anak-anak.
Dalam mendepani konflik serta cabaran keluarga moden, Dr. Siti Sarah menegaskan prinsip komunikasi yang dianjurkan Islam kekal relevan untuk diamalkan, termasuk penggunaan tutur kata yang baik, sopan dan lemah lembut walaupun ketika berhadapan situasi mencabar.
"Sebagai ibu bapa, kita perlu menyedari wujudnya perbezaan antara generasi. Isu jurang generasi ini mungkin kurang dibincangkan suatu ketika dahulu, namun kajian psikologi menunjukkan setiap generasi mempunyai sikap serta kaedah pendidikan yang berbeza," jelasnya.
Oleh itu, ibu bapa disaran untuk sentiasa menambah ilmu keibubapaan agar dapat memahami dan mendidik anak-anak mengikut pendekatan yang bersesuaian dengan generasi serta peringkat usia mereka.
"Ibu dan ayah tidak seharusnya malas atau culas dalam usaha menimba ilmu keibubapaan," tambah beliau ketika ditemu bual RTM.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan bahawa komunikasi dalam keluarga tidak terhad kepada pertuturan lisan semata-mata, sebaliknya turut dizahirkan melalui sikap, perlakuan dan contoh teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa dalam kehidupan seharian.