fb fb fb fb fb

Orang awam bantu padam kebakaran Pasar Tamu Simpang Bekenu

Kebakaran melibatkan barang jualan, perkakas serta pendawaian elektrik/foto RTM

MIRI, 29 Disember - Kerjasama dan tindakan awal orang awam berjaya memadamkan kebakaran melibatkan Pasar Tamu Simpang Bekenu, di sini, awal pagi tadi.

Menurut Kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 12.19 tengah malam.

Sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 54 kilometer.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi pada pukul 1.00 pagi, didapati kebakaran telah pun dipadam sepenuhnya oleh orang awam menggunakan sumber air berhampiran.

"Kebakaran melibatkan barang jualan, perkakas serta pendawaian elektrik, dengan anggaran kemusnahan sekitar 20 peratus dan keluasan kawasan terjejas dianggarkan 30 x 20 kaki persegi," menurut kenyataan itu.

Operasi diketuai oleh Penguasa Bomba Kanan I, Awang Adzwan, bersama enam anggota bomba dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan pihak bomba tidak menjalankan operasi pemadaman, sebaliknya hanya melakukan pemeriksaan serta pemantauan bagi memastikan tiada lagi punca nyalaan di lokasi kejadian.

Punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI