fb fb fb fb fb

PM: Muhyiddin juga perlu mohon maaf

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 21 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin juga perlu memohon maaf atas pelbagai tuduhan dan fitnah yang dilemparkannya terhadap kerajaan MADANI.

Tegas Perdana Menteri, antara tuduhan yang pernah dilemparkan oleh Ahli Parlimen Pagoh itu termasuklah tuduhan kononnya kerajaan MADANI zalim dan tidak menyalurkan peruntukan kepada pembangkang.

"Dia (Tan Sri Muhyiddin) pun kena minta maaf. Banyak tuduhan dan fitnah dilemparkan seperti kerajaan zalim, tidak bagi peruntukan kepada Kelantan. Ratusan yang dia sebut di dalam dan luar parlimen," jelas beliau.

Datuk Seri Anwar mengulas gesaan Tan Sri Muhyiddin pada 7 Ogos lalu yang menuntut beliau memohon maaf berhubung kenyataannya di Parlimen mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.

Beliau ditemui selepas menghadiri Majlis Penutup Forum Undang-Undang ASEAN 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD