SEGAMAT, 29 Disember - Jumlah penduduk terjejas banjir di Johor yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 10:00 pagi ini merekodkan 117 orang daripada 38 keluarga, dan kesemuanya kini berada di enam PPS di Segamat.
Kemas kini itu berdasarkan portal Info Bencana JKM yang menyaksikan sebuah PPS turut dibuka hari ini melibatkan SRJK(C) Tah Kang Gemas Baru, iaitu dalam status siap sedia untuk diaktifkan.
Semalam, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam satu kenyataan memaklumkan, enam PPS diaktifkan setakat 8:00 malam.
Ia melibatkan PPS Balairaya Kampung Batu Badak; Dewan Serbaguna Kampung Orang Asli Segamat Kecil; Balairaya Kampung Paya Lebar; PPS Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Serbaguna Kampung Tasek dan PPS Balairaya Kampung Jabi.