fb fb fb fb fb

Pakar patologi, antara 70 saksi inkues kematian Zara Qairina

Pakar patologi, antara saksi utama yang akan dipanggil untuk menjelaskan punca kematian mangsa

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Sebanyak 70 orang saksi, termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat ke atas jenazah pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir akan dipanggil untuk memberi keterangan pada prosiding inkues berhubung kematian remaja itu.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan memaklumkan, pakar patologi tersebut merupakan antara saksi utama yang akan dipanggil untuk menjelaskan mengenai punca kematian mangsa.

"Pasukan Pegawai Pengendali juga telah membuat persiapan rapi, termasuk penyediaan dokumen yang akan dikemukakan semasa prosiding inkues serta penyerahan dokumen kepada peguam yang mewakili pihak-pihak berkepentingan dalam prosiding berkenaan.

"Prosiding inkues ini akan turut disertai oleh pihak-pihak berkepentingan dan peguam pemerhati sepertimana yang telah dibenarkan oleh Mahkamah Koroner," menurut kenyataan AGC hari ini.

Pihak-pihak berkepentingan ialah ibu Zara Qairina yang diwakili Tetuan Hamid & Co, Shahlan Jufri & Co, Tetuan Rizwan M Borhan & Co, JP Keruak serta Messrs FN Lee & Nasser.

Kenyataan AGC turut memaklumkan, pihak berkepentingan kanak-kanak pertama diwakili oleh Tetuan Ram Singh & Co serta Goh & Associates, pihak berkepentingan kanak-kanak kedua hingga kelima diwakili oleh Tetuan Azhier Arisin & Jaafar, manakala Sabah Law Society bertindak sebagai peguam pemerhati.

"AGC bertekad untuk memastikan prosiding inkues dijalankan dengan lancar bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan. Berpegang prinsip keadilan bukan sahaja hendaklah dilaksanakan, tetapi juga hendaklah dilihat sebagai telah dilaksanakan," menurut kenyataan itu.

Tarikh inkues ditetapkan pada 3 dan 4 September, 8 hingga 12 September, 17 hingga 19 September dan 22 hingga 30 September 2025.

MASNIZA AWANG KECHIK