fb fb fb fb fb

Siaran khas Grandstand Nasionalfm bersempena sambutan Hari Kebangsaan

Siaran khas ini boleh diikuti bermula pukul 7 pagi

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Stesen radio RTM, Nasionalfm akan membawakan siaran khas Grandstand Nasionalfm secara langsung dari Dataran Putrajaya pada 31 Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Siaran khas ini boleh diikuti bermula pukul 7 pagi menerusi frekuensi Nasionalfm di seluruh negara serta penstriman langsung di Facebook Rasmi Nasionalfm.

Grandstand kali ini akan menampilkan tiga tetamu istimewa iaitu Pengarah A4, Markas Pemerintahan Operasi Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Kolonel Salehudin Azam; Pengarah Rekod dan Pencen, Jabatan Arah Rekod dan Pencen, Kolonel Mohd Yazid Yaacob; serta Ketua Unit Komunikasi dan Pemantauan Media, Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Polis Diraja Malaysia (PDRM), DSP Mohd Firdaus Ramli.

Ketiga-tiga tetamu akan berkongsi pandangan mengenai semangat patriotik, peranan pasukan keselamatan dan penghayatan nilai kemerdekaan.

Siaran ini akan dikendalikan oleh dua pengulas Nasionalfm, iaitu Nurul Hidayah Md Nawai atau DJ Dyya Nawai dan Mohd Nazrie Fahmie Sukri atau DJ Nazrie yang akan membawa pendengar menyelami suasana penuh warna-warni sambutan Hari Kebangsaan secara langsung dari Dataran Putrajaya.

Selain Nasionalfm, stesen radio RTM lain iaitu KLfm, Traxxfm, Minnalfm dan AiFM turut membuat liputan langsung khas dari Dataran Putrajaya untuk siaran di saluran masing-masing, bagi memberikan variasi perspektif kepada pendengar setia.

Penerbitan siaran khas ini adalah sebahagian daripada usaha Nasionalfm sebagai radio rasmi Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh semangat cintakan negara serta menyemarakkan rasa bangga terhadap identiti nasional, seiring dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini.

Orang ramai dijemput untuk sama-sama mengikuti siaran langsung ini bagi merasai sendiri kehangatan sambutan Hari Kebangsaan 2025.

MASNIZA AWANG KECHIK