fb fb fb fb fb

UPSI Holdings perkukuh pendidikan digital, tingkat kemahiran 3M SK Taiping

Mohd Effendy (kanan) menyerahkan modul 3M kepada Guru Besar SK Taiping, Azharun Wanik./Foto UPSI

TAIPING, 29 Disember - UPSI Holdings Sdn Bhd, dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), terus memperkukuh komitmen memartabatkan kualiti pendidikan negara melalui pemerkasaan pendidikan digital serta peningkatan penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di peringkat sekolah rendah.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Anugerah Terunggul 2025 Sekolah Kebangsaan (SK) Taiping yang berlangsung pada 17 Disember lalu di Dewan Taming Sari, SK Taiping, Perak sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan guru serta pencapaian akademik murid sepanjang tahun 2025.

Pengurus Besar UPSI Holdings Sdn Bhd, Mohd Effendy Dato’ Mohamad Zailani berkata, seiring dengan usaha memperkasa ekosistem pendidikan berteraskan teknologi, UPSI Holdings Sdn Bhd turut mengumumkan sumbangan strategik sebanyak 30 set Modul 3M dan 20 unit tablet bagi menyokong serta memperkukuh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) murid sekolah berkenaan.

"Sumbangan ini diharapkan dapat meningkatkan literasi asas dan kemahiran numerasi murid selaras dengan keperluan pendidikan digital semasa.

"Inisiatif ini juga mencerminkan sinergi berterusan antara institusi pendidikan tinggi dan sekolah dalam membangunkan pendekatan pembelajaran yang holistik, inklusif dan berimpak tinggi, sejajar aspirasi nasional ke arah melahirkan generasi berilmu, berkemahiran serta berdaya saing," katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika menyempurnakan majlis penyampaian Anugerah Khidmat Cemerlang kepada guru-guru serta anugerah kecemerlangan akademik kepada murid-murid yang menunjukkan prestasi cemerlang di sini.

Mengulas lanjut, Mohd Effendy memaklumkan, Majlis Anugerah Terunggul 2025 bukan sahaja menjadi platform penghargaan, malah berfungsi sebagai pemangkin kepada budaya kecemerlangan berterusan dalam kalangan warga pendidik dan murid.

Ia selaras dengan usaha berterusan UPSI dan UPSI Holdings Sdn Bhd dalam memperkasa landskap pendidikan negara.

EZA YUSMAWATI YAACOP