fb fb fb fb fb

Rumah kedai di Beaufort musnah dijilat api

Api berjaya dikawal pada pukul 3.50 pagi dan operasi tamat pada 5.05 pagi/foto RTM

BEAUFORT, 29 Disember - Sebuah rumah kedai di KPD Ladang Cepat, Kampung Lingkungan Laut, di sini, musnah dalam kebakaran, awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.24 pagi.

"11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort dan Sipitang seterusnya digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 41 kilometer. Api berjaya dikawal pada pukul 3.50 pagi dan operasi tamat pada 5.05 pagi. Kebakaran tidak melibatkan mangsa," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, sebuah rumah dan tiga kenderaan juga musnah dalam kebakaran di Kampung Lembah Poring, Membakut Kimanis, Papar, malam tadi.

JBPM Sabah, memaklumkan sebaik menerima panggilan pada pukul 11.01 malam, enam anggota dari BBP Kimanis dikerah ke lokasi kejadian.

"Sebuah kenderaan turut terbakar 70 peratus. Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 12.17 tengah malam, dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada 2 pagi," menurut kenyataan JBPM Sabah.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI