fb fb fb fb fb

UM bina inspirasi robotik murid luar bandar melalui Roboskool

Prof Ir Dr Nahrizul Adib Kadri (duduk tiga dari kiri) pada Program Roboskool: Innovation Through STEM di SK Nyalas, Jasin Melaka/UM

KUALA LUMPUR, 29 Disember – Menyedari keperluan industri selian membantu membina bakat masa hadapan, Universiti Malaya (UM) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Roboshop Sdn Bhd menganjurkan program “Roboskool: Innovation Through STEM”.

Universiti itu dalam kenyataan memaklumkan, seramai 50 orang murid Tahun 4 hingga Tahun 6 dari 10 buah sekolah luar bandar di seluruh Melaka menyertai program tersebut yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Nyalas, Jasin Melaka, baru-baru ini.

Menurut Pengetua Kolej Kediaman Ibnu Sina (KK6) UM, Prof Ir Dr Nahrizul Adib Kadri, program dijayakan menerusi peruntukan Pusat Jalinan Masyarakat UM (UMCares) itu bukan sekadar tentang pengaturcaraan atau robotik semata-mata, Ia merupakan satu usaha untuk menjadikan teknologi sebagai sesuatu yang boleh disentuh, difahami, dan mungkin dimiliki, walaupun oleh murid-murid dari kawasan luar bandar.

“Program berasaskan inovasi ini sebenarnya mempunyai objektif serampang dua mata. Bukan sahaja kita ingin mendedahkan teknik pengaturcaraan robotik yang mudah kepada murid-murid sekolah luar bandar ini agar mereka juga tidak ketinggalan dari segi kebolehan untuk menyerlahkan idea-idea inovatif, tapi lebih besar dari itu adalah untuk membuka mata mahasiswa UM terhadap program sukarelawan alternatif yang boleh dilaksanakan bersama komuniti,” jelasnya yang hadir sepanjang program berlangsung.

Menerusi pendekatan yang praktikal, setiap murid dibimbing untuk memahami asas pengaturcaraan mikrokomputer menggunakan platform yang sangat mesra pengguna. Mereka bukan sahaja menulis kod, malah melihat hasilnya secara langsung melalui pemasangan penderia (sensor), lampu LED, dan komponen robotik lain yang tersedia di meja masing-masing.

Menurut Wan Mohamed Fawwaz Wan Farid, mahasiswa tahun akhir Akademi Pengajian Islam UM, selaku penceramah utama, pada awalnya beliau kurang yakin, namun teruja setelah mendapat maklum balas peserta yang amat memberangsangkan.

“Pada mulanya saya menyangka sambutan mungkin agak perlahan, memandangkan mereka merupakan murid sekolah luar bandar yang pertama kali menyentuh sebuah papan mikrokomputer. Namun saya tersilap, kerana sambutan bukan sahaja menggalakkan, malah saya melihat kemajuan yang paling pantas untuk program sehari seperti ini walaupun jika dibandingkan dengan sekolah-sekolah di bandar.

“Suasana program kali ini dipenuhi dengan keterujaan. Ada yang pada mulanya ragu-ragu untuk menaip kod, akhirnya yakin memeriksa output sendiri. Ada juga yang tidak sabar menunjukkan hasil kepada rakan sebelah,” katanya.

Berbeza dengan pendekatan konvensional yang sering menjadikan teknologi sebagai sesuatu yang rumit dan digambarkan seolah-olah sebuah bidang khusus hanya untuk golongan terpelajar, Roboskool membawakan konsep pembelajaran berasaskan keseronokan dan penerokaan.

Setiap murid dibekalkan dengan satu set kit pengaturcaraan yang mengandungi sebuah papan mikrokomputer berserta aksesori yang diperlukan, yang boleh dibawa pulang setelah tamat program. Setiap kumpulan juga dibekalkan dengan sebuah komputer riba bagi kegunaan mengaturcara menggunakan aplikasi yang dibangunkan oleh Roboshop sendiri.

Dengan bantuan fasilitator dalam kalangan mahasiswa UM, murid-murid bukan sahaja diajar secara teknikal mengenai asas pengaturcaraan dan kod, tetapi juga diberi semangat dan keyakinan untuk mencuba, supaya tidak berasa takut apabila membuat kesalahan.

Bagi Prof Ir Dr Nahrizul Adib , program ini diharap menjadi titik tolak supaya lebih banyak lagi benih minat dan keyakinan diri dalam kalangan murid dapat dicambahkan. Beliau turut menyatakan bahawa beberapa guru pengiring menyuarakan hasrat untuk membawa semangat ini kembali ke sekolah masing-masing, agar murid terus terdedah dengan teknologi moden secara progresif.

“Saya mahu murid-murid di sekolah luar bandar ini juga merasakan yang mereka sebenarnya mampu bersaing dengan sesiapa sahaja, asalkan ada idea dan minat. Kerana teknologi sepatutnya menyatukan, bukan memisahkan.

“Program pendidikan, seperti yang ditunjukkan oleh Roboskool, bukan hanya berlaku di bilik darjah, tetapi di mana sahaja kita ada keinginan dan keberanian untuk mencuba,” tambah Prof Nahrizul Adib.

MAT YUNUS BIN SABRI