AMPANG, 29 Ogos - Pembukaan Seksyen Satu Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) disifatkan amat signifikan dalam memperkukuh jaringan sistem jalan raya di sekitar Lembah Klang.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, Lebuhraya EKVE merupakan salah satu projek infrastruktur utama negara yang membentuk sebahagian daripada sistem Lingkaran Luar Kuala Lumpur di bahagian timur.
"EKVE telah dirancang sebagai laluan alternatif yang dapat menghubungkan kawasan-kawasan utama di pinggir bandar seperti Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang, tanpa perlu memasuki pusat bandar yang sering kali mengalami kesesakan trafik yang teruk," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis pembukaan Seksyen 1 Lebuhraya EKVE di Plaza Tol Ampang yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.
Nanta berkata, Seksyen Satu EKVE sepanjang 24 kilometer (km) itu mempunyai empat persimpangan bertingkat iaitu di Sungai Long, Bandar Mahkota Cheras, Hulu Langat dan Ampang.
"Seksyen Satu ini merangkumi 16.8 km jajaran utama dan 8.4 km jalan susur, manakala Seksyen Dua yang akan menghubungkan laluan ini terus ke Ukay Perdana, kini sedang giat dilaksanakan.
"Apabila dibuka kelak akan melengkapkan keseluruhan jajaran EKVE sepanjang 39 km seperti dirancang dalam pelan pembangunan asal," katanya.
Sementara itu, Nanta turut menyentuh mengenai aplikasi MyJalan yang telah menerima 40,938 aduan dari Ogos hingga Julai 2025.
"Daripada jumlah itu, 12,459 aduan melibatkan Jabatan Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia dengan kadar penyelesaian tinggi iaitu 95.19 peratus, manakala 28,479 aduan dikategorikan bawah dasar 'No Wrong Door' melibatkan jalan negeri, jalan kampung, jalan bandaran serta jalan persendirian," katanya.