fb fb fb fb fb

Projek Kompleks Mahkamah Johor Bahru capai 85 peratus siap

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 29 Disember - Projek pembinaan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di Iskandar Puteri dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan, dengan kos pembinaan berjumlah RM195.4 juta.

Ketika ini, projek berkenaan telah mencapai tahap kemajuan sebanyak 85 peratus dan dipantau secara rapi oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan kerjasama pihak kontraktor bagi memastikan pelaksanaannya berjalan mengikut jadual yang ditetapkan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, bangunan yang dibina di atas kawasan seluas 17 ekar itu merangkumi tiga komponen utama.

Apabila siap kelak, kompleks tersebut bakal dilengkapi dengan 24 bilik bicara, pejabat pentadbiran, kemudahan parkir yang mencukupi melibatkan 389 petak parkir kereta serta 171 petak bagi parkir motosikal.

EZA YUSMAWATI YAACOP