fb fb fb fb fb

MARA sasar jualan RM1 juta menerusi Biznetwork Fiesta

Foto FB Majlis Amanah Rakyat

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta menerusi program Biznetwork Fiesta Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah MARA, Datuk Zulfikri Osman berkata, program ini yang bermatlamat membantu usahawan membina jenama produk serta menembusi pasaran lebih luas dilaksanakan di tiga lokasi, iaitu Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.

Ia turut memfokuskan produk jenama tempatan, selain membantu usahawan memperkukuh, sekali gus meningkatkan jualan produk di pasaran.

"Untuk kali ini, Biznetwork Fiesta kuala lumpur menampilkan 30 usahawan bawah MARA dengan produk masing-masing. Biasanya jualan di platform dalam talian itu melebihi daripada jualan di platform fizikal, tapi hari ini kita tampil di pusat beli-belah, supaya pelanggan dapat lihat dan merasa produk yang dijual.

"Kita turut bekerjasama dengan TikTok dan juga media-media sosial yang lain untuk memberi peluang kepada usahawan supaya mereka dapat juga menjual di platform media sosial," katanya ketika ditemui media semasa meninjau dan merasmikan Program Biznetwork Fiesta Kuala Lumpur di sini.

Program ini turut mendapat sokongan rakan kerjasama strategik, iaitu TikTok Shop, Lalamove, Unifi dan ToyyipPay dalam membina rangkaian pemasaran digital dan e-dagang.

MASNIZA AWANG KECHIK