fb fb fb fb fb

Perpaduan negara warisan bersama, perlu dipelihara setiap generasi - Sultan Nazrin

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Ogos- Perpaduan negara merupakan warisan yang mesti dipelihara melalui rasa hormat, empati dan tanggungjawab.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah bertitah, kepelbagaian menjadi antara kekuatan terbesar Malaysia.

Justeru, aspek perpaduan memerlukan penglibatan semua rakyat serta dipacu usaha yang berterusan.

"Ia adalah tanggungjawab bersama setiap generasi untuk terus mendefinasikan dan mengangkat makna sebenar menjadi seorang rakyat Malaysia yang berteraskan pada empati, keadilan dan semangat perkongsiaan masa depan.

Kita mesti terus membina Malaysia dengan rakyat daripada pelbagai agama dan latar belakang bukan sahaja dapat hidup bersama, tetapi juga dapat memperkayakan serta mengangkat satu sama lain dengan kebijaksanaan dan empati.

Rasa kenegaraan kita mesti difahami secara luas sebagai satu identiti kolektif dan kepercayaan mendalam terhadap nilai-nilai yang menyatukan kita," titah Sultan Nazrin, malam tadi.

Baginda bertitah pada majlis pengumuman dan penyampaian Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa 2025 di ibu negara.

Sultan Nazrin yang juga Penaung Diraja dan Pengerusi Merdeka Award Trust turut mengumumkan peluasan Geran Anugerah Merdeka dengan menambah kategori baharu dalam bidang kemanusiaan, seni dan sukan.

Permohonan geran berkenaan merekodkan jumlah tertinggi tahun ini, iaitu melebihi 200 permohonan buat kali pertama sejak ia diperkenalkan pada tahun 2013.

Titah baginda lagi, kenegaraan pada abad ke-21 memerlukan usaha untuk menangani naratif palsu dan memecahbelahkan, di samping memupuk dialog berhemah, hubungan bermakna dan tindakan yang mencerminkan keterangkuman.

Dalam perkembangan sama, Geran Anugerah Merdeka telah melahirkan 33 penerima yang membawa pulang ilmu serta inovasi daripada lebih 40 institusi bertaraf dunia, sejak ia diperkenalkan.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik, ia telah memberikan manfaat kepada masyarakat tempatan selain mengukuhkan kedudukan Malaysia di peringkat global.

"Belia merupakan jambatan menuju kecemerlangan masa hadapan. Dengan pendekatan ini, prinsip kami adalah mengenal pasti potensi awal dalam kalangan generasi muda bagi menyokong serta menyerlahkan lagi kebolehan mereka.

Semua elemen ini amat penting untuk Malaysia mencapai status negara maju dan membentuk sebuah masyarakat yang inklusif serta progresif," Tan Sri Tengku Muhammad Taufik kepada pemberita, hari ini.

Sementara itu, penerima Geran Anugerah Merdeka, Dr. Rasyidah Rehir berkata pemberiaan geran tersebut akan dimanfaat sebaik mungkin dalam mempelajari kajian terbaharunya.

"Dengan geran ini, saya akan mempelajari satu teknik pengawetan baharu yang belum ada di Malaysia. Melalui teknik ini, mayat akan diawet dengan mengekalkan tekstur hampir sama seperti manusia hidup.

Kaedah ini penting bagi melatih pegawai perubatan dan pakar bedah supaya mereka dapat mengembangkan lagi kemahiran dalam bidang pembedahan," kata Dr. Rasyidah kepada pemberita, hari ini.

Geran Anugerah Merdeka untuk Penempatan Antarabangsa bertujuan menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia berusia 22 hingga 35 tahun untuk mendapat pendedahan global, membangunkan penyelesaian inovatif dan menyumbang kepada pembangunan negara.

Bagi edisi ke-10 tahun ini, seramai lima individu terpilih untuk menerima Geran Anugerah Merdeka daripada 200 permohonan yang diterima, sekali gus menjadikannya jumlah permohonan tertinggi dalam sejarah penganjuran anugerah tersebut.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM