KUALA LUMPUR, 3 September - Jabatan Peguam Negara (AGC) akan menfailkan Notis Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur yang melepaskan serta membebaskan Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada pertuduhan bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 [Akta 15].
Hakim mahkamah berkenaan hari ini memutuskan tertuduh tidak perlu dipanggil membela diri di akhir kes pendakwaan.
"Setelah mempertimbangkan keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tersebut, Jabatan ini akan menfailkan Notis Rayuan bagi merayu terhadap keputusan pelepasan dan pembebasan tersebut dalam masa terdekat," menurut kenyataan AGC.
Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.