PKR tidak lindungi individu salah guna kuasa 

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 4 April -PKR tidak akan sesekali melindungi mana-mana pemimpin dan ahli yang didapati menyalahgunakan kuasa, kata Ketua Penerangan parti berkenaan Datuk Fahmi Fadzil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangan ambil kesempatan atau menyalahgunakan amanah; elakkan tingkah laku yang mencalar imej parti.
  • Jangan terlalu selesa dengan jawatan; perubahan gaya hidup mendadak tanpa penjelasan menimbulkan persepsi negatif.
  • Ahli digalakkan menegur secara berhemah melalui saluran betul; parti mengalu-alukan kepelbagaian pandangan.
  • Perbicaraan saman fitnah bermula Isnin di Mahkamah Tinggi; Fahmi akan menjadi saksi pertama bagi membersihkan nama.

Beliau berkata Perdana Menteri yang juga Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberi amaran keras bahawa tiada sesiapa termasuk menteri akan dilindungi sekiranya terlibat dalam salah guna kuasa.

“Jangan pernah ambil kesempatan salah guna kuasa, jangan ambil kesempatan atau sempat ambil apa-apa… jangan sampai imej parti tercalar dengan pergi ke mana-mana kononnya mahu ‘tengok lesen’… bila diberi amanah, jangan dinodai. 

“Ini peringatan kepada kita… kita dahulu berdepan dengan FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) untuk menghentikan penyalahgunaan kuasa… jangan pula sekarang kita membenarkan perkara yang sama berlaku dalam kalangan kita,” katanya.

Datuk Fahmi berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR bagi Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, malam tadi.

Pada masa sama, Datuk Fahmi yang juga Menteri Komunikasi turut mengingatkan pemimpin supaya tidak terlalu selesa dengan jawatan.

Beliau berkata perubahan gaya hidup secara mendadak tanpa penjelasan munasabah boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.

Datuk Fahmi turut menyeru semua pihak dalam PKR agar saling menegur secara berhemah melalui saluran yang betul.

“Kita boleh ada kepelbagaian pandangan dalam parti, dan parti tidak pernah menghalang anggota daripada menyampaikan suara serta pandangan. 

“Tapi ketika negara berdepan dengan krisis tenaga global dan isu-isu ekonomi, kita perlu bersatu hati mengetepikan perbezaan pandangan dan bersama dengan kerajaan untuk memastikan kita dapat mengharungi dugaan serta cabaran besar ini dengan jayanya,” kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Datuk Fahmi berkata perbicaraan berhubung saman fitnah terhadap tiga individu yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah, iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor akan bermula Isnin depan.

Beliau berkata kes itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, pada Isnin ini… saya dimaklumkan bahawa saya akan menjadi saksi pertama,” katanya sambil menegaskan bahawa tindakan undang-undang itu diambil bagi membersihkan nama beliau.

Saman itu difailkan Datuk Fahmi secara berasingan pada 5 September 2023 terhadap Wan Muhammad Azri Wan Deris atau dikenali sebagai Papagomo, penceramah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani dan pemilik akaun Facebook N13 Kuang Mohd Fauzan Madzlan berhubung dakwaan kononnya Ahli Parlimen Lembah Pantai berkenaan menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor. – BERNAMA