KOTA KINABALU, 3 September - Inkues bagi menentukan punca kematian pelajar tingkatan satu, Zara Qairina Mahathir bermula hari ini di Mahkamah Koroner, Kota Kinabalu.
Seawal pukul 7.00 pagi, pengamal media telah berkumpul di lokasi, manakala polis melakukan kawalan keselamatan.
Prosiding selama 19 hari dijadual berlangsung secara berperingkat pada 3-4 September, 8-12 September, 17-19 September serta 22-30 September, dengan Hakim Mahkamah Sesyen Amir Shah Amir Hassan bertindak sebagai koroner.
Seramai 70 saksi termasuk pakar patologi yang menjalankan bedah siasat terhadap mangsa dijangka memberi keterangan. Prosiding dikendalikan Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad bersama pasukan Timbalan Pendakwa Raya Nahra Dollah, Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Pada 13 Ogos, Jabatan Peguam Negara mengarahkan inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan polis.