fb fb fb fb fb

Polis siasat dua akaun TikTok hasut, sebar dakwaan tidak benar

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 September - Polis sedang menjalankan siasatan ke atas dua akaun TikTok yang tular di media sosial mengenai hantaran berunsur hasutan serta dakwaan tidak benar membabitkan kes kematian Zara Qairina Mahathir dan dakwaan mengaitkan Perdana Menteri dengan Israel.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar S. Muthuvelu berkata siasatan kini sedang dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman sejurus laporan polis diterima.

"Kes pertama adalah hantaran oleh akaun TikTok Muhammad Zamis Shah @zamis88\_shah98\_sikacau berhubung isu kematian Zara Qairina.

"Manakala kes kedua pula adalah hantaran oleh akaun TikTok Monkey Dnaga yang mengaitkan Perdana Menteri Malaysia dengan Israel," kata beliau dalam satu kenyataan.

Kedua-dua pemilik akaun terbabit telah berjaya dikenal pasti dan tiada sebarang kaitan antara kedua-dua mereka.

Usaha mengesan suspek terlibat kini sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN