fb fb fb fb fb

770 PATI ditahan dalam Ops Belanja di Bukit Bintang

Antara pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam Ops Belanja di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur/ Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 September – Seramai 770 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam satu operasi besar-besaran Jabatan Imigresen Malaysia di sekitar Bukit Bintang, di sini, malam tadi.

Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Bangladesh (377 lelaki), Myanmar (235 lelaki), India (58 lelaki), Nepal (72 lelaki), Indonesia (17 lelaki, dua perempuan), serta lain-lain (3 lelaki dan 6 perempuan).

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Imigresen Malaysia, Basri Othman berkata operasi yang dikenali sebagai Ops Belanja itu dijalankan hasil aduan awam yang mendakwa kawasan berkenaan sering menjadi tumpuan warga asing.

“Hasil pemeriksaan, 770 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen, termasuk tiada dokumen pengenalan diri yang sah, tinggal lebih masa serta menyalahgunakan dokumen,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi itu.

Operasi bermula pukul 7.30 malam dan berakhir kira-kira pukul 9.30 malam itu melibatkan seramai 106 pegawai penguat kuasa, dengan 2,445 individu diperiksa terdiri daripada 1,600 warga asing dan 845 warganegara tempatan.

Tambah beliau, semasa operasi dijalankan, terdapat warga asing cuba melarikan diri dengan bersembunyi di kedai, malah ada yang memanjat bumbung bangunan. Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya diberkas selepas kawasan operasi dikepung pegawai imigresen.

Basri memaklumkan pihaknya turut menyerbu sebuah premis yang dijadikan pusat judi dalam talian yang lengkap dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV), dan menahan lapan warga asing yang sedang leka berjudi.

“Operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa, termasuk pemeriksaan inspektorat terhadap premis perniagaan bagi memastikan majikan mematuhi kuota pekerja asing yang diluluskan,” jelasnya.

Kesemua tahanan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk proses saringan awal sebelum ditempatkan di depoh tahanan bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, termasuk Seksyen 6(3), Seksyen 15(4) dan Peraturan 39(b).

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN