fb fb fb fb fb

Op Noda: 83 warga asing ditahan di Johor

Antara yang ditahan dalam serbuan Op Noda di Johor.

JOHOR BAHRU, 3 September - Seramai 83 warga Myanmar ditahan dalam serbuan ke atas lapan premis hiburan di beberapa daerah di Johor, menerusi Op Noda yang dijalankan serentak bermula malam 30 Ogos hingga awal pagi 31 Ogos lalu.

Ketua Polis Johor, CP Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi itu melibatkan premis hiburan di Johor Bahru Selatan, Iskandar Puteri, Kulai dan Seri Alam.

Daripada jumlah ditahan, sembilan adalah penjaga premis, seorang tukang masak, 29 pelayan dan 44 pelanggan yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah. Kesemua mereka berusia antara 22 hingga 47 tahun.

Polis turut merampas wang tunai, peralatan hiburan, gajet elektronik dan buku akaun perniagaan. Pemeriksaan mendapati premis terbabit beroperasi tanpa lesen sah selain menggaji pekerja asing tanpa permit.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan Negeri Johor.

TUN JULIA MOHD TAHIR