KOTA BHARU, 3 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan syarikat kurier bagi mengekang kegiatan sindiket dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, kaedah penghantaran barangan terlarang menggunakan kurier dikenal pasti sering digunakan sindiket tersebut, termasuk dari Kelantan ke Sabah dan Sarawak.
“Kita akan bekerjasama dengan syarikat kurier untuk mengetatkan prosedur, supaya perkhidmatan itu tidak mudah disalahgunakan bagi mengedar barangan yang dilarang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Beliau menambah, usaha merobohkan pangkalan haram di sempadan Kelantan turut dilaksanakan bagi mengekang aktiviti penyeludupan dadah. Namun pihaknya percaya sindiket akan mencari laluan alternatif yang akan terus dipantau dari semasa ke semasa.
PDRM juga akan menggerakkan aset darat, laut dan udara, serta bekerjasama dengan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKSEM), bagi memperkukuh kawalan sempadan negara.