KOTA BHARU, 3 September- Polis merampas lebih 204 kilogram syabu bernilai RM6.5 juta dalam serbuan di sebuah premis di Kampung Kasar, Pasir Mas, pada 25 Ogos lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, seorang pemilik kedai runcit berusia 27 tahun, dipercayai berperanan sebagai transporter turut ditahan.
Jelas beliau, serbuan dilakukan hasil risikan hampir sebulan dan maklumat awam.
Pemeriksaan lanjut di kawasan semak berhampiran premis berkenaan menemukan tujuh guni berisi 196 bungkus plastik berisi syabu.
“Sindiket ini membawa masuk dadah melalui pangkalan haram Kampung Terusan, Rantau Panjang menggunakan bot, sebelum dipunggah ke dalam kenderaan dan disembunyikan di semak sementara menunggu ahli sindiket lain mengambilnya.
Modus operandi ini digunakan bagi mengaburi mata pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti haram ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, bekalan itu dipercayai untuk dihantar ke Lembah Klang dan boleh digunakan lebih 1.02 juta penagih.
Siasatan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan jenayah lain, selain positif syabu hasil ujian air kencing.
Polis kini dalam proses menyita premis kedai runcit milik suspek bagi menilai sama ada perniagaan tersebut digunakan untuk mengaburi kegiatan dadah.
Pihaknya juga sedang mengesan saki baki ahli sindiket dan menyiasat rangkaiannya termasuk di luar negara.
Suspek direman 14 hari bermula 26 Ogos hingga 8 September ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.