PUTRAJAYA, 3 September - Satu sindiket pemalsuan dokumen berjaya ditumpaskan dengan penahanan lima lelaki warga Bangladesh serta rampasan puluhan pasport palsu, dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi hasil risikan sebulan itu dilaksanakan di dua premis kediaman di Jalan Jelawat dan Jalan Razak Mansion.
“Kita melalui maklumat risikan lebih kurang sebulan kita laksanakan dan kita berjaya menahan lima orang iaitu dua warga Bangladesh yang menjadi dalang utama dan tiga lagi warga Bangladesh yang kita syakki menjadi ahli sindiket,” katanya.
Antara barangan yang dirampas termasuk lapan pasport Bangladesh, pasport palsu India dan Indonesia, peralatan mencetak, pelekat keselamatan, 11 telefon bimbit, wang tunai lebih RM2,000 serta sebuah kenderaan.
Sindiket dipercayai mengenakan caj antara RM150 hingga RM250 bagi setiap pasport palsu, yang digunakan warga asing dari Bangladesh, India, Pakistan, Myanmar, Nepal dan Indonesia, termasuk bagi tujuan pemeriksaan kesihatan FOMEMA.
“Modus operandi mereka adalah menggunakan pasport palsu berbeza untuk individu sama bagi melepasi pemeriksaan di klinik panel berbeza. Aktiviti ini kita kesan sudah berjalan kira-kira tiga bulan,” jelasnya.
Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.
Datuk Zakaria berkata, ini merupakan kes kedua seumpamanya sejak tahun lalu dan tidak menolak kemungkinan wujud lebih banyak sindiket serupa yang sedang dipantau pihaknya.