fb fb fb fb fb

Lima pekerja Indonesia dipenjara, miliki lebih 13 tan LPG tanpa lesen

Lima pekerja stor warga Indonesia dipenjara 15 bulan selepas mengaku bersalah memiliki 13,745 kilogram LPG tanpa lesen

JOHOR BAHRU, 3 September- Lima pekerja stor warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini, selepas mengaku bersalah memiliki 13,745 kilogram gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen, dua bulan lalu.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ali, 35 tahun; Zulfan Fauzi, 31; Nasrullah, 34; Marhaban, 31 dan Adnan, 28, selepas mereka membuat pengakuan tersebut.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa memiliki barang kawalan berjadual berkenaan tanpa kebenaran di sebuah premis di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 28 Julai lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dibaca bersama Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut memerintahkan semua barangan rampasan serta kenderaan dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN