fb fb fb fb fb

Lelaki tular kes intai wanita dihukum penjara kes dadah

Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan lampau membabitkan dadah

KUALA TERENGGANU, 3 September- Seorang lelaki yang tular kerana didakwa mengintai seorang usahawan wanita di sebuah inap desa minggu lalu, dipenjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas kesalahan lampau membabitkan dadah.

Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29 tahun, dijatuhi hukuman tersebut oleh Mahkamah Majistret di sini.

Mengikut kertas pertuduhan, Ahmad Farhan didakwa memasukkan bahan terlarang itu itu ke dalam tubuhnya di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu pada pukul 12.15 tengah malam, 11 April 2016.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Ahmad Farhan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu mengintai seorang wanita dan menceroboh premis inap desa.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 36 tahun di sebuah inap desa yang disewa mangsa di Banggol Peradong, Manir pada pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.

Pertuduhan dikemukakan bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menceroboh inap desa sama pada tarikh berkenaan, mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN