BUKIT MERTAJAM, 3 September - Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini menangguh prosiding pendakwaan kes seorang lelaki etnik Rohingya yang berdepan pertuduhan membunuh teman wanitanya pada Ogos lalu.
Penangguhan itu dibuat Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bagi membolehkan jurubahasa Vietnam dilantik sebelum pertuduhan terhadap Abdul Kader Abdul Rahman, 52, dibacakan pada tarikh baharu yang ditetapkan iaitu pada 1 Oktober depan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan jenayah bunuh dan menyebabkan kematian terhadap seorang wanita warga Myanmar, Ah Me pada Ogos lalu.
Abdul Kader berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Shakila Dahari manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah turut tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh.