fb fb fb fb fb

Warga emas maut ditikam guna gunting di kepala

Anggota polis forensik berada di lokasi kejadian/FOTO Dewi Nur Harasha Alias

KEPALA BATAS, 13 Ogos - Seorang wanita warga emas berusia 80 tahun maut selepas ditikam menggunakan gunting pada bahagian kepala oleh anak saudaranya dalam kejadian di Gelung Bubu, Pekan Darat, dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad ketika dihubungi RTM mengesahkan kejadian tersebut.

"Maklumat lanjut akan dimaklumkan kemudian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Terdahulu media melaporkan lelaki berusia 43 tahun tidak puas hati dengan tindakan mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan antara dua beranak itu.

Dalam kejadian pukul 11.00 pagi, mangsa berada di kediaman terbabit semasa pertengkaran sedang berlaku.

Berang dengan tindakan ibu saudaranya, suspek mencapai gunting secara mengejut dan menikam bahagian kiri kepala mangsa.

Mangsa kemudiannya dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia.

Manakala, ibu kandung kepada suspek berusia 70-an yang mengalami kecederaan sedang menerima rawatan di Hospital Kepala Batas.

Suspek juga bertindak memecahkan cermin jiran rumah mereka.

Suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental berjaya ditahan petang tadi selepas orang awam menghubungi pihak polis.

GRACE AISYAH KEDAYAN