fb fb fb fb fb

Ugut PM dan Timbalan KPN di FB, Polis tahan dua lelaki

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Dua lelaki ditahan kerana disyaki membuat hantaran berbaur ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay di Facebook.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Suhaily Mohd Zain berkata suspek pertama yang dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Nekad Hikers Ventures’, berusia 51 tahun ditahan di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Suspek kedua dipercayai pemilik akaun Facebook ‘Jgad Zruu’ berumur 27 tahun ditangkap Bukit Mertajam, Pulau Pinang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambah Suhaily, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Suhaily turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang andaian dan spekulasi memandangkan kes berkenaan masih dalam proses siasatan pihak polis.

“Polis turut mengingatkan orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak, cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama melibatkan kegentaran awam dan keselamatan negara," katanya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN