fb fb fb fb fb

Tiga sekawan didakwa edar dadah di jirat Cina

Kedua-dua tertuduh menutup wajah mereka bagi mengelak dirakam media ketika tiba di mahkamah

GEORGE TOWN, 6 Februari- Tiga lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Georgetown pagi tadi atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 102,862 gram di kawasan jirat Cina di Jalan Mount Erskine pada bulan lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada dua daripada tiga tertuduh iaitu A.Nadarajan (51) dan R. Thasvindran (32) sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.

Seorang lagi, tertuduh SR. Karanan, 35 tahun pula tidak hadir ke mahkamah kerana berada di penjara.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis kanabis seberat 102,862 gram pada 25 Januari lalu di Kwangtung, Jalan Mount Erskine.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 39(B)(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Sekyen 24 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 16 April ini sebagai tarikh serahan laporan kimia dan sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Sementara itu, dalam prosiding yang berasingan pula A. Nadarajan, turut didakwa atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 7.82 gram.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 24 Januari lalu, kira-kira pukul 4 petang di hadapan kandang lembu, Hong Seng Estate, di  Jalan Mount Erskine.

Tertuduh tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan tersebut dihadapan Majistret Nadratun Naim.

Timbalan Pendakwa Raya, M.Darrshini berkata, tiada sebarang jaminan ditawarkan.

Bagaimanapun peguam Edmund Anthony Hermon yang mewakili Nadarajan bagi kes itu, meminta mahkamah mengurangkan hukuman kepada anak guamnya yang hanya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM50 sehari.

Mahkamah turut menetapkan 16 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh A. Nadarajan diarahakan ditahan di penjara reman sehingga laporan kimia siap.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE