KOTA BHARU, 16 April- Motif kejadian tembakan oleh seorang lelaki di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, baru-baru ini, bersifat peribadi antara suspek dan isterinya.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya tidak mengesan sebarang unsur lain yang mendorong suspek, Hafizul Hawari, 38, melepaskan tembakan ke arah isterinya sebelum terkena pengawal peribadi.
Jelas beliau, hasil soal siasat juga mendapati suspek seorang yang normal.
"Buat masa ini tidak ada motif lain, selain motif peribadi tersebut dan kita akan bawa pulang suspek ke Selangor untuk selesaikan segala siasatan berkaitan dengan kes 307 (Seksyen 307 Kanun Keseksaan sebagai cubaan membunuh).
"Kita juga akan panggil balik beberapa saksi untuk memperkemaskan lagi siasatan di Selangor dan akhirnya kepada pendakwaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Tambah beliau, suspek juga sempat ke sebuah hospital swasta di sini untuk membuat laporan perubatan.
Bagaimanapun, dia ditahan sebaik keluar dari Hospital Pakar Perdana, di sini, kira-kira pukul 3.00 petang untuk mengambil laporan berkenaan.
"Apa tujuan laporan perubatan sama ada mahu memohon visa atau sebaliknya, kita masih menjalankan siasatan.
"Bagaimanapun, suspek sudah membuat pemeriksaan kesihatan di hospital swasta berkenaan sebelum kejadian tembakan dan suspek hadir semalam untuk mengambil laporan," tambahnya.
Mohd Shuhaily turut mengesahkan bahawa suspek bergerak secara individu selepas kejadian tanpa dibantu mana-mana pihak.
Beliau berkata, suspek terus bergerak ke Kelantan selepas kejadian tembakan tanpa berjumpa dengan sesiapa.
Suspek dipercayai tiba di Kelantan pada petang Ahad lalu selepas waktu zuhur.
Dia kemudian menginap di sebuah hotel dengan membuat pendaftaran menggunakan identiti individu lain menyebabkan kehadirannya gagal dikesan.
Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa suspek cuba meloloskan diri ke negara lain melalui Thailand berdasarkan rampasan sejumlah wang tunai mata wang Arab Saudi (Riyal) dan mata wang Thailand (Baht) ke atas suspek.
Selain wang tunai, polis turut merampas sepucuk pistol bersama 33 butir peluru, mercun, enam biji telefon bimbit dan pasport.
ARTIKEL BERKAITAN
Suspek lepas tembakan di KLIA direman tujuh hari
Suspek tembak KLIA dalam proses cerai, ada dua laporan ugutan jenayah
Langkah keselamatan KLIA dipertingkatkan, elak kejadian berulang
Kes tembak di KLIA 1, pengawal peribadi cedera parah
Hafizul Harawi ditahan di Kota Bharu