fb fb fb fb fb

Suspek buang bayi di Pantai Dalam masih diburu, dipercayai orang luar

Kecederaan yang terdapat pada badan bayi itu berpunca daripada gigitan binatang

KUALA LUMPUR, 21 Mei- Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Ku Mashariman Ku Mahmood hari ini memberitahu, suspek yang membuang bayi di bawah kereta Proton Iswara di sebuah pangsapuri di Pantai Dalam di sini Jumaat lepas, dipercayai bukan penduduk kawasan perumahan itu.

Berdasarkan siasatan, tiada penduduk di pangsapuri itu yang mengandung atau bersalin baru-baru ini.

Malah, bayi itu juga berkemungkinan besar berketurunan warga asing berdasarkan keadaan fizikalnya.

Beliau berkata pemeriksaan awal juga mendapati bayi itu bukan dibunuh dan kecederaan yang terdapat pada badan bayi itu berpunca daripada gigitan binatang.

"Proses bedah siasat telah selesai dan pihak polis masih lagi menunggu keputusan makmal berhubung punca kematian bayi tersebut,” katanya.

Ku Mashariman berkata setakat ini, enam saksi termasuk individu yang menemukan mayat bayi itu telah memberikan kerjasama yang baik.

Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dan menyebabkan kematian.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE