fb fb fb fb fb

Sindiket seludup rokok, minuman keras bernilai RM4.9 juta tumpas

Pengarah Kastam Negeri Sembilan, Muhammad Ilyas (tengah) menunjukkan rokok dan minuman keras bernilai RM4.9 juta yang dirampas dalam tiga serbuan/ Foto: JKDM Negeri Sembilan

SEREMBAN, 23 September- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran rokok serta arak bernilai RM4.9 juta dalam tiga serbuan pada Ogos dan awal September ini.

Pengarah Kastam negeri, Muhammad Ilyas Queek Abdullah berkata, kes pertama melibatkan rampasan 5,280 tin minuman keras dalam pemeriksaan ke atas
sebuah lori “bonded” jenis Isuzu yang mempamerkan nombor pendaftaran palsu di kawasan perumahan Jenjarom, Selangor.

"Kesemua bir dijumpai tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import di bawah Butiran 3 Bahagian Il Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import ) 2023.

“Kesemua barang kes bersama lori dan kontena disita di bawah Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut. Jumlah nilai keseluruhan barang sitaan ini termasuk cukai dianggarkan RM600,157," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Muhammad Ilyas berkata pihaknya turut menyerbu dan melakukan pemeriksaan di sebuah gudang di kawasan Taman Perindustrian Puchong, Selangor menemukan sejumlah 287,500 paket rokok putih bernilai RM4.36 juta.

"Kesemua rokok putih itu tidak mempunyai label cukai dan disyaki barangan larangan import di bawah Butiran I Bahagian ll Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan kesemua barang ekshibit disita mengikut Seksyen 114 Akta Kastam 1967 untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Menurutnya, modus operandi sindiket adalah rokok tersebut diseludup ke negara ini tanpa melalui prosedur pengimportan sah dan barangan itu disimpan dalam gudang sebelum diedarkan serta dijual di pasaran tempatan.

Beliau berkata JKDM mengesa orang ramai bersama-sama memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan selain dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI