Petronas catat untung bersih RM27.2 bilion bagi separuh pertama 2026, naik 4 peratus

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Ogos – Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mencatat keuntungan bersih RM27.2 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, meningkat RM1 bilion atau empat peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Prestasi mencerminkan pelaksanaan berdisiplin, operasi boleh dipercayai dan prestasi komersial baik walaupun keadaan makroekonomi mencabar
  • Pendapatan dan EBITDA meningkat, disokong pengeluaran domestik lebih tinggi serta jualan LNG dan gas diproses; harga terealisasi lebih baik tetapi terjejas oleh pertukaran asing
  • Keuntungan selepas cukai sebahagiannya diimbangi pengiktirafan kerugian PRefChem akibat suntikan modal tambahan; Petronas kekal fokus keselamatan tenaga dan kesinambungan bekalan

Prestasi itu mencerminkan pelaksanaan yang berdisiplin, operasi yang boleh dipercayai dan prestasi komersial yang baik meskipun Petronas berdepan keadaan makroekonomi yang mencabar.

Petronas dalam kenyataan memaklumkan, peningkatan keuntungan itu sejajar dengan pertumbuhan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kepada RM56.8 bilion.

“Hasil meningkat RM19.8 bilion atau 15 peratus kepada RM152.4 bilion berbanding RM132.6 bilion pada tempoh sama tahun lalu, terutama disokong pengeluaran domestik yang lebih tinggi serta peningkatan jumlah jualan gas asli cecair (LNG) dan gas diproses.

“Selain itu, ia turut disokong harga purata terealisasi yang lebih baik bagi produk utama, namun sebahagiannya diimbangi kesan pertukaran asing yang tidak menggalakkan,” menurut kenyataan itu.

Petronas berkata, peningkatan keuntungan selepas cukai (PAT) itu sebahagiannya diimbangi pengiktirafan bahagian kerugian terkumpul daripada usaha sama Pengerang Refining Company Sdn Bhd dan Pengerang Petrochemical Company Sdn Bhd, yang secara bersama dikenali sebagai PRefChem.

Menurutnya, kerugian itu berlaku susulan suntikan modal tambahan dan direkodkan selaras dengan piawaian perakaunan yang berkenaan.

Dalam pada itu, syarikat minyak dan gas nasional itu kekal memberi tumpuan kepada usaha menjamin keselamatan tenaga serta memastikan kesinambungan bekalan bahan api negara.

Petronas berkata, langkah itu penting berikutan ketidaktentuan berpanjangan susulan konflik di Asia Barat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.