Kualiti udara di selatan ASEAN cecah tahap berbahaya – ASMC

Jerebu di Sarawak semakin membimbangkan apabila beberapa kawasan mencatat IPU berbahaya dan sangat tidak sihat/RTM Kuching

SINGAPURA, 30 Ogos – Kualiti udara di beberapa kawasan di selatan ASEAN mencecah tahap berbahaya pada pagi Ahad, menurut ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC).

RINGKASAN BERITA AI
  • Stesen pemantauan di Kalimantan Barat, Sumatera, barat Semenanjung Malaysia dan Sarawak rekod kualiti udara tidak sihat hingga berbahaya.
  • Titik panas meluas dikesan di Kalimantan dan Sumatera, beberapa titik panas turut direkodkan di kawasan lain selatan ASEAN.
  • Asap dari kelompok titik panas di Kalimantan Barat bergerak ke utara menuju Sarawak, jerebu dijangka berterusan jika cuaca kering berpanjangan.

Dalam laporan harian cuaca dan jerebunya, ASMC memaklumkan beberapa stesen pemantauan kualiti udara di Kalimantan Barat, Sumatera bahagian tengah dan selatan, barat Semenanjung Malaysia serta bahagian tengah dan barat Sarawak merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat hingga berbahaya.

ASMC turut mengesan titik panas yang meluas di Kalimantan dan Sumatera, manakala beberapa titik panas turut direkodkan di kawasan lain di selatan ASEAN.

“Kepulan asap rentas sempadan pada tahap sederhana hingga tebal dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di Kalimantan Barat dan bergerak ke arah utara menuju bahagian barat dan tengah Sarawak.

“Pada masa sama, asap sederhana hingga tebal turut dikesan berpunca daripada kelompok titik panas di banyak kawasan di Kalimantan serta Sumatera bahagian tengah dan selatan,” menurut ASMC pada Ahad.

ASMC memaklumkan keadaan titik panas dan jerebu berkemungkinan terus meningkat di kawasan yang mengalami cuaca kering berpanjangan, dengan risiko kejadian jerebu rentas sempadan kekal berterusan.

“Angin di selatan ASEAN diramal bertiup dari arah tenggara hingga barat daya,” tambahnya. – BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.