
KATHMANDU, 30 Ogos – Memasuki hari kelima banjir, paras air sungai di Roshuki Bazar, Nepal terus meningkat, menyebabkan penduduk berpindah ke kawasan lebih tinggi demi keselamatan.
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan selepas dihentikan sementara akibat cuaca buruk.
- Angka korban meningkat kepada 734 orang, manakala 2,498 lagi masih dilaporkan hilang.
- Runtuhan glasier memusnahkan infrastruktur; Nepal mohon bantuan antarabangsa, anggarkan AS$4-5 bilion diperlukan untuk pembinaan semula.
Hari ini Nepal meneruskan operasi mencari dan menyelamat selepas dihentikan sementara akibat cuaca buruk.
Operasi itu dijalankan bagi mengesan ribuan mangsa yang masih hilang selepas banjir besar melanda kawasan berhampiran sempadan Tibet.
Menurut laporan terkini, angka korban di Nepal meningkat kepada 734 orang, manakala 2,498 masih hilang.
Banjir tercetus pada 26 Ogos lalu selepas keruntuhan glasier dari arah puncak menyebabkan aliran deras batu, ais, lumpur dan sekali gus meranapkan kawasan sempadan Tibet.
Bencana itu memusnahkan bangunan, jambatan dan kemudahan tenaga di sepanjang laluan banjir.
Paras air sungai yang kembali meningkat turut mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan banjir susulan, dengan penduduk di kawasan terjejas diarahkan supaya terus berwaspada dan berpindah ke tempat lebih tinggi jika perlu.
Nepal turut memohon bantuan teknikal antarabangsa bagi menyokong operasi mencari dan menyelamat serta usaha pemulihan.
Kerajaan Nepal menganggarkan antara AS$4 bilion hingga AS$5 bilion diperlukan untuk membina semula kawasan yang musnah akibat bencana itu.
Di Tibet, China, angka korban turut meningkat kepada 16 orang, manakala ratusan lagi masih hilang susulan bencana yang turut menjejaskan kawasan sempadan Nepal-China. – REUTERS