Polis siasat isu tudung corak Jalur Gemilang tidak lengkap

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Polis sedang menyiasat isu video tular di media sosial mengenai penjualan tudung bercorak Jalur Gemilang, yang didakwa tidak lengkap di sebuah pasar raya di Subang Jaya, Selangor.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak polis menerima laporan mengenai perkara itu kira-kira 4.49 petang semalam.
  • Siasatan awal mendapati hanya sebahagian tudung mempunyai corak Jalur Gemilang tidak lengkap daripada pembekal.
  • Pasar raya mengeluarkan dan mengasingkan tudung dikenalpasti agar tidak dijual di pasaran.
  • Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta salurkan maklumat kepada IPD Subang Jaya 03-7862 7100.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima laporan polis mengenai perkara itu, kira-kira 4.49 petang semalam.

“Hasil siasatan awal mendapati hanya sebahagian tudung berkenaan mempunyai corak Jalur Gemilang tidak lengkap, yang diterima daripada pihak pembekal.

“Pasar raya berkenaan telah mengambil langkah awal dengan mengeluarkan serta mengasingkan tudung yang dikenal pasti tidak mempunyai corak Jalur Gemilang sepenuhnya daripada kawasan jualan, bagi mengelakkannya dijual di pasaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azlan berkata susulan penularan video berkenaan, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, berkaitan penggunaan Jalur Gemilang yang tidak menepati sifat yang ditetapkan.

Beliau berkata siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara yang tular di media sosial dan memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan, selain meminta mereka yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya menerusi talian 03-7862 7100”, katanya.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.