
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Tiga lapisan perlindungan perlu diwujudkan bagi memperkukuh tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH), khususnya dalam memastikan setiap keputusan berkaitan dana pendeposit dibuat secara profesional, telus dan bebas daripada konflik kepentingan.
- Lembaga pengarah kompeten, bebas dan dilantik secara telus berasaskan merit; ahli politik aktif tidak sesuai.
- Panel pelaburan profesional dan mekanisme semak imbang kukuh bagi keputusan pelaburan bernilai tinggi.
- Akauntabiliti jelas: dokumentasi pembuat keputusan, asas, penilaian risiko dan pemantauan selepas pelaburan.
Pengarah Program MBA Putra Business School, Profesor Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perlindungan itu meliputi keanggotaan lembaga pengarah yang kompeten dan bebas, mekanisme semak dan imbang yang kukuh terhadap keputusan pelaburan, serta akauntabiliti yang jelas bagi setiap keputusan bernilai besar.
Tambah beliau, aspek berkenaan amat penting sebagai pengajaran daripada dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang antara lain mengenal pasti isu kuasa pelantikan, penglibatan politik, konflik kepentingan serta kelemahan dalam proses membuat keputusan berkaitan pelaburan dan pengurusan dana seperti sebelum ini.
“Pertama, lembaga pengarah mesti benar-benar kompeten dan bebas dengan proses pelantikan yang telus dan berasaskan merit. Ahli politik yang sedang aktif juga tidak sepatutnya menduduki jawatan yang boleh menimbulkan persepsi konflik kepentingan.
“Kedua, perlu ada semak dan imbang yang kuat terhadap keputusan pelaburan. Jangan sampai keputusan yang bernilai berbilion ringgit bergantung kepada terlalu sedikit individu. Sebab itu cadangan panel pelaburan yang mempunyai kepakaran profesional dan bebas amat penting.
“Ketiga, akauntabiliti itu juga mesti jelas. Setiap keputusan yang besar perlu mempunyai dokumentasi mengenai siapa yang membuat keputusan, asas keputusan tersebut, risiko yang dinilai dan bagaimana ia dipantau selepas pelaburan dibuat,” katanya kepada RTM.
Menurutnya, reformasi TH tidak seharusnya hanya dilihat daripada aspek penstrukturan semula aset atau peningkatan prestasi kewangan, sebaliknya kejayaan sebenar perlu diukur berdasarkan keupayaan sistem baharu mencegah kesilapan sama daripada berulang.
“Perubahan yang paling kritikal bukan sekadar menukar beberapa orang dalam pengurusan atau lembaga pengarah perubahan itu dibuat berdasarkan prinsip fiduciary, professionalisme dan juga kepentingan pendeposit, bukan dipengaruhi kepentingan politik atau kepentingan mana-mana individu yang lain,” katanya lagi.
Pendekatan itu katanya selari dengan mandat utama TH untuk melindungi simpanan pendeposit, menjana pulangan yang munasabah serta memastikan tanggungjawab berkaitan pengurusan haji dapat dilaksanakan dengan baik.