15,000 petak parkir disediakan sempena sambutan Hari Kebangsaan

Foto Facebook Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 30 Ogos – Sebanyak 15,000 petak parkir kenderaan awam disediakan di beberapa lokasi sekitar di sini bagi memudahkan orang ramai menghadiri sambutan Hari Kebangsaan ke-69 di Dataran Putrajaya esok.

RINGKASAN BERITA AI
  • Parkir disediakan di PICC, Presint 1, Presint 9, Presint 18, Presint 8 dan Terra@8; lokasi spesifik termasuk taman, pusat komersial dan parkir bawah tanah.
  • Bas ulang-alik percuma MS01 dan MS02 beroperasi dengan kekerapan lima hingga 15 minit; MS01 24 jam, MS02 dari 4 pagi hingga 2 petang esok.
  • Perkhidmatan rel MRT 24 jam dan ERL bermula 4 pagi; disaran guna Touch 'n Go atau Rapid Kota, rancang perjalanan awal untuk sambutan Hari Kebangsaan.

Menerusi hantaran infografik di Facebook Merdeka360, daripada jumlah itu sebanyak 3,500 petak parkir disediakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Presint 9 (3,000), masing-masing 2,500 petak parkir di Presint 1 dan Presint 18, Presint 8 (2,000) dan Terra@8, Presint 8 (1,500).

“Di Presint 1, kawasan parkir meliputi Taman Botani, tempat letak kenderaan terbuka Kompleks E, Taman Putra Perdana dan sekitar presint berkenaan manakala bagi Presint 9, orang ramai boleh meletakkan kenderaan di Putrajaya Sentral, PJH Destina serta kawasan sekitarnya.

“Bagi PICC, parkir disediakan di pusat konvensyen itu serta kawasan sekitarnya manakala di Presint 18 membabitkan Taman Pancarona dan kawasan sekitarnya. Presint 8 pula melibatkan Kelab Tasik, kawasan komersial dan sekitar Presint 8 manakala di Terra@8 Presint 8 parkir disediakan di parkir bawah tanah dan sekitar kawasan itu,” menurut infografik itu.

Selain kemudahan parkir, orang ramai turut mempunyai pilihan untuk menggunakan perkhidmatan bas ulang-alik secara percuma, Transit Aliran Massa (MRT) dan Express Rail Link (ERL) untuk ke Putrajaya sempena sambutan berkenaan.

Bagi perkhidmatan bas ulang-alik percuma laluan MS01 dari MRT/Terminal Putrajaya Sentral ke Jalan Tun Abdul Razak, Presint 2 beroperasi selama 24 jam tanpa henti bermula 2 petang hari ini hingga 2 petang esok.

“Bas bagi laluan itu beroperasi dengan kekerapan setiap 15 minit dari 2 petang hari ini hingga 4 pagi esok sebelum ditingkatkan kepada setiap lima minit dari 4 pagi hingga 2 petang.

“Satu lagi perkhidmatan bas ulang-alik percuma menerusi laluan MS02 dari lobi utama PICC, Jalan P4X, Presint 4 pula beroperasi dari 4 pagi hingga 2 petang esok dengan kekerapan setiap lima minit,” menurut hantaran itu.

Perkhidmatan MRT turut beroperasi selama 24 jam, namun operasi itu hanya melibatkan perkhidmatan rel dan laluan bas RapidKL terpilih dengan pengguna disaran menggunakan kad Touch ‘n Go atau Rapid Kota bagi kelancaran perjalanan.

Bagi ERL, waktu operasi bermula 4 pagi esok dengan kekerapan setiap 30 minit manakala tiket pergi balik dari KL Sentral, Bandar Tasik Selatan dan Salak Tinggi ke Putrajaya boleh dibeli melalui aplikasi KLIA Ekspres atau layari laman sesawang rasmi KLIA Ekspres.

Justeru, orang ramai disaran merancang perjalanan lebih awal bagi memastikan pergerakan ke lokasi sambutan lebih lancar dan selesa dengan acara dijadual bermula 8 pagi.

Bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan Hari Kebangsaan ke-69 akan diadakan di Dataran Putrajaya dengan jangkaan lebih 80,000 pengunjung hadir bagi menyemarakkan hari yang penuh bersejarah itu.
– BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.