SHAH ALAM, 23 Disember - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan rayuan ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin untuk menangguhkan hukuman penjara selama lima tahun atas kesalahan mengabaikan anaknya.
Keputusan ke atas tertuduh, Ismanira Abdul Manaf, 30 tahun dibuat oleh Hakim Datuk Aslam Zainuddin, selepas mendapati tiada keadaan khas bagi membolehkan mahkamah membenarkan permohonan itu.
Ismanira memfailkan permohonan bagi menangguhkan hukuman penjara atas kesalahan tersebut pada 19 November lalu.
Pada 31 Oktober, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menjatuhkan hukuman penjara lima tahun ke atas Ismanira selepas didapati bersalah mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, dua tahun lepas.
Hakim Dr Syahliza Warnoh menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara, selain menandatangani bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan seorang penjamin warganegara tempatan serta cagaran RM3,000.
Ismanira turut diperintahkan menjalani khidmat masyarakat selama 120 jam, yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.