fb fb fb fb fb

Projek Kasino Forest City: Keputusan perintah larangan bersuara Chegu Bard Isnin depan

Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard diwakili peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali/Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU, 16 Mei - Mahkamah Tinggi Johor Bahru menetapkan Isnin depan bagi keputusan perintah larangan bersuara terhadap ahli jawatankuasa penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkaitan satu hantaran di media sosial miliknya berhubung projek kasino di Forest City, Iskandar Puteri pada 26 April lalu. 

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan dan pembelaan terhadap kes berkenaan pagi tadi.  

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datin Kalmizan Salleh; Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Mohd Sabri Othman dan Abdul Malik Ayob serta Timbalan Pendakwa Raya, Nurilya Ellyna Mohd Azmal dan Mohd Syafiq Mohd Ghazali.

Manakala Chegu Bard diwakili peguamnya, Muhammad Rafique Rashid Ali. 

Sebelum ini, Mahkamah Sesyen Johor Bahru telah menolak permohonan pendakwaan yang memohon perintah larang suara dikenakan terhadap chegu bard. 

Perintah larangan berkenaan supaya responden tidak mengeluarkan sebarang komen dan kenyataan umum di mana-mana termasuk platform media sehingga kes itu selesai. 

Pada 30 April lalu, chegu bard mengaku tidak bersalah atas pendakwaan mengikut perenggan 4(1)(C) Akta Hasutan 1948( akta 15) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya. 

GRACE AISYAH KEDAYAN