KOTA TINGGI, 22 Januari – Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Johor, hari ini atas pertuduhan menganiaya anak asuhannya yang berusia sembilan bulan sehingga menyebabkan kematian.
Tertuduh, Chia Muy Hoong, 61 tahun, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Menurut pendakwaan, Chia, yang mempunyai pemeliharaan ke atas kanak-kanak lelaki berusia sembilan bulan, didakwa menganiaya kanak-kanak tersebut dengan menyebabkan kecederaan pada bahagian belakang kiri kepala, yang membawa kepada kematiannya.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah rumah di Taman Intan Jaya, Mersing, Johor, antara 6 Disember hingga 12 Januari lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun, atau kedua-duanya.
Mahkamah turut boleh memerintahkan tertuduh menyempurnakan suatu bon dengan penjamin bagi berkelakuan baik dan menjalani khidmat masyarakat, mengikut tempoh dan syarat yang ditetapkan oleh mahkamah.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Khairuddin Khalid, manakala tertuduh diwakili peguam Amy Law Siew Tin.
Mahkamah menetapkan 24 Februari hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen dan menawarkan jaminan RM5,000 kepada tertuduh, termasuk syarat tambahan untuk tidak mengganggu saksi, terutama keluarga mangsa.