fb fb fb fb fb

Pelajar Tahun 1 cedera dipukul dua senior

Foto hiasan /BERNAMA

SHAH ALAM, 17 Oktober- Seorang murid lelaki berusia tujuh tahun cedera selepas dipercayai dipukul oleh dua pelajar Tahun 3 di sebuah sekolah rendah di Seksyen 32, Shah Alam.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Polis (ACP) Mohd Iqbal bin Ibrahim, insiden tersebut berlaku di kawasan kantin sekolah dan telah tular di media sosial sejak semalam.

“Pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam telah menerima laporan daripada ibu mangsa pada 15 Oktober 2025 jam 9.51 malam. Laporan menyatakan anaknya telah dipukul semasa berada di kantin sekolah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kes disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda maksimum RM2,000, atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.

Polis turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian tersebut agar menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Nor Sabryna Binti Mohammad Taha di talian 014-513 0450.

SITI NOORAIN ABDULLAH